AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PM: Tidak boleh buka bazar Ramadan, siswa mesti kekal di kampus

SHAH ALAM, 13 APRIL: Kerajaan melarang bazar Ramadan diadakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sudah dilanjutkan beberapa kali sejak 18 Mac lalu.

Fasa ketiga PKP bermula 15 April hingga 28 April ini, namun kerajaan membayangkan langkah kawalan “mungkin memakan masa berbulan-bulan” bagi membendung wabak Covid-19.

Bulan mulia umat Islam ini, yang menyaksikan jualan pelbagai juadah berbuka puasa, dijangka bermula 24 April ini.

“Semua bentuk bazar Ramadan tidak dibenarkan beroperasi di seluruh negara sepanjang tempoh PKP dilaksanakan,” kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Larangan tersebut antara tiga arahan terbaharu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Dua lagi adalah menarik balik kebenaran operasi kedai gunting rambut dan membatalkan keizinan pelajar pulang ke kampung masing-masing.

Ismail Sabri juga berkata pelajar institusi pengajian tinggi perlu kekal di kampus masing-masing sepanjang tempoh PKP.

Kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi akan memastikan kebajikan dan makan minum mereka diberi keutamaan sepanjang berada di kampus, tambahnya.

“Keputusan ini diambil berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan bagi membendung penularan Covid-19 dan pandangan Majlis Keselamatan Negara serta polis bagi memastikan rakyat mematuhi PKP dan mengurangkan pergerakan orang ramai,” katanya.

Ketika ini, lebih 80,000 pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta tinggal di kampus dan kolej. Jumlah ini tidak termasuk mereka yang tinggal di rumah sewa.


Pengarang :