Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bangunan Perdana Putra pada 6 April 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PM umum pakej Prihatin Tambahan RM10 bilion

SHAH ALAM, 6 APRIL: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan langkah tambahan bagi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau “Prihatin Tambahan”.

Pakej tambahan berjumlah RM10 bilion bagi membantu meringankan beban kewangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), seterusnya menjamin dua pertiga daripada jumlah pekerja di negara ini terus mendapat pekerjaan.

“Saya menerima maklum balas daripada pelbagai persatuan yang memberi pandangan bahawa perniagaan mereka terjejas dan memerlukan bantuan tambahan kerajaan.

“Sehubungan itu, saya meminta menteri kewangan untuk mengadakan sesi libat urus dengan PKS bagi mencari penyelesaian kepada masalah yang dihadapi,” katanya ketika mengumumkan Langkah Tambahan Pakej Prihatin hari ini.

Sementara itu, perdana menteri berkata PKS yang menyumbang 40 peratus kepada ekonomi negara perlu cekal serta mampan dalam menghadapi tekanan dan cabaran yang melanda ketika ini.

“Antara cabaran utama yang dihadapi ialah masalah aliran tunai perniagaan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pengusaha PKS juga berhadapan isu birokrasi dan pentadbiran yang menghalang akses segera terhadap bantuan disediakan kerajaan dalam Pakej Prihatin,” katanya.

Pada 27 Mac lalu, perdana menteri mengumumkan pakej Prihatin bernilai RM250 bilion bagi membantu rakyat yang terjejas susulan PKP bagi mengawal penularan Covid-19.

Melaluinya, golongan B40 dan M40 menerima manfaat antaranya pemberian Bantuan Prihatin Nasional berjumlah RM1,000 hingga RM1,600.


Pengarang :