AGENSISELANGOR

Polis nafi trak bawa individu ingkar PKP terbalik di Puchong

SHAH ALAM, 18 APRIL: Polis menafikan berlaku kemalangan membabitkan trak pasukan keselamatan itu dengan sebuah kereta peronda polis (MPV) di Puchong, seperti tular di media sosial semalam.

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman menerusi kenyataan di Facebook berkata penyebaran berita palsu itu seolah-olah menggambarkan berlaku kemalangan membabitkan trak polis membawa individu ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Semakan ke atas gambar kemalangan mendapati ia berlaku di Green Technology Park, Seremban 2 pada 15 April 2019,” kata kenyataan itu.

Berikutan itu, JSPT Selangor membuat laporan polis berkaitan penularan gambar kemalangan tersebut yang boleh menimbulkan kegusaran masyarakat.

“JSPT menggesa orang ramai untuk menghentikan sebarang penyebaran berita palsu untuk dimuat naik atau dikongsi di laman sosial dan sebagainya.

“Siasatan sedang dijalankan ke atas penyebar berita palsu dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati sengaja mensensasikan isu berkenaan,” katanya.


Pengarang :