Anggota polis memeriksa surat kebenaran bekerja seorang pemandu di sekatan jalan raya di Jalan Ampang pada 1 April 2020 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Polis rakam operasi PKP untuk rujukan akan datang

KUALA LUMPUR, 6 APRIL: Segala proses dan tindakan yang diambil Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memerangi wabak Covid-19 di negara ini termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan didokumentasikan, supaya ia boleh dijadikan rujukan jika berlaku kes seperti itu pada masa hadapan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata langkah berkenaan diambil bagi membolehkan generasi PDRM pada masa hadapan mempunyai acuan atau template bagi memerangi ancaman seperti Covid-19.

“Segala proses dan tindakan PDRM telah saya arahkan untuk didokumentasikan secukupnya supaya dapat digunakan oleh generasi akan datang.

“Kami tidak tahu mungkin lagi 20 tahun ada virus, acuan telah ada dan mereka boleh terus laksanakan tanpa buang masa,” katanya kepada Bernama di Bukit Aman, di sini.

Beliau berkata, tatacara operasi piawai (SOP) yang digunakan bagi memerangi Covid-19 ketika ini seperti pelaksanaan PKP amat berkesan.

“Keberkesanan (SOP) akan dapat dicapai dalam masa singkat dan banyak perkara yang (PDRM) pelajari dalam krisis ini,” katanya.

Ditanya mengenai sumbangan makanan orang ramai kepada anggota yang melakukan sekatan jalan raya, Abdul Hamid berkata pihaknya amat berterima kasih atas niat murni masyarakat untuk membantu anggotanya.

Namun, katanya beliau menyarankan agar sumbangan seumpama diberikan kepada mereka yang lebih memerlukan.

“PDRM telah ada peruntukan makanan, kalau boleh hantar ke Jabatan Kebajikan Masyarakat agar ia boleh diagihkan kepada orang yang memerlukan,” katanya.

Abdul Hamid juga berkata orang ramai digalakkan menyalurkan bantuan di tabung Covid-19.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan pegawai dan anggotanya untuk terus bersabar dalam melaksanakan tugas penguatkuasaan PKP.

“Pegawai dan anggota menunjukkan tahap kesabaran yang tinggi demi menjaga keselamatan orang ramai,” katanya menambah pucuk pimpinan juga sentiasa menjaga kebajikan anggota PDRM.

Selain itu, Abdul Hamid berkata beliau berhasrat menaikkan bendera Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada perbarisan Hari Polis (yang akan ditetapkan kemudian) sebagai tanda penghargaan kepada petugas perubatan.

“Kalau bolehlah pada Hari Polis nanti saya ingin naikkan bendera KKM bagi hargai pengorbanan petugas demi menjaga kesihatan dan keselamatan orang ramai dari Covid-19,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :