ACP Mohd Ismail Muslim pada sidang media berkaitan Op Covid-19 di IPK Selangor pada 4 April 2020. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

Polis Selangor sedia terowong nyahcemar di IPD, IPK

SHAH ALAM, 4 APRIL: Polis Selangor akan menyediakan terowong nyahcemar di semua ibu pejabat polis daerah (IPD) dan negeri untuk kegunaan anggotanya yang bertugas melakukan rondaan dan sekatan jalan raya serta mereka yang mempunyai urusan dengan pihak polis.

Jurucakap Op Covid-19 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor ACP Ismail Muslim berkata Jabatan Logistik dan Teknologi Polis Kontinjen Selangor sudah membuat permohonan untuk membeli 10 set berkenaan dan sedang menunggu kelulusan daripada Bukit Aman.

“Terowong nyahcemar ini penting terutama buat pegawai kami yang melakukan tugasan rondaan dan sekatan jalan raya agar mereka tidak terkena jangkitan Covid-19.

“Ia juga memandangkan Selangor merupakan negeri tertinggi yang merekodkan kes jangkitan Covid-19,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Sementara itu, Ismail berkata pihaknya menutup 34 jalan alternatif di lapan daerah yang dikenal pasti digunakan oleh orang ramai bagi mengelak sekatan jalan raya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Katanya, pihaknya juga mengawasi jalan alternatif lain yang sering digunakan oleh pengguna jalan raya dan akan menutupnya sekiranya orang ramai masih enggan mematuhi perintah berkenaan.

-BERNAMA


Pengarang :