Sekatan jalan raya dilakukan polis bersama tentera semasa Perintah Kawalan Pergerakan di pekan Dengkil, Sepang pada 3 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Polis Selangor tahan 1,225 individu ingkar PKP

SHAH ALAM, 6 APRIL: Seramai 1,225 individu termasuk 71 wanita ditahan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata jurucakap khas Op Covid-19 Selangor.

ACP Mohd Ismail Muslim berkata sebanyak 859 laporan diterima berkaitan kesalahan PKP dan 596 kes disiasat di bawah Peraturan 7(1) serta Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

“Terdapat 42 tambahan sekatan jalan raya untuk fasa kedua PKP menjadikan keseluruhan 94 sekatan selama 24 jam. Polis masih lagi menutup 34 laluan alternatif bagi mengekang pergerakan di jalan yang tidak mempunyai sekatan,” katanya di Facebook hari ini.

Petang tadi, menteri kanan (Kluster Keselamatan) memaklumkan jumlah tangkapan individu ingkar PKP meningkat 51 peratus, dengan 554 orang ditahan dan sekatan jalan raya dan rondaan polis.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata peningkatan kali pertama sejak empat hari lalu berlaku kerana orang awam mengambil kesempatan keluar sempena cuti hujung minggu.


Pengarang :