Keadaan ketika operasi sekatan jalan raya oleh anggota polis bersama tentera ketika Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan di Lebuhraya Persekutuan menghala ke Shah Alam pada 7 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Polis tak bezakan pesalah PKP

SHAH ALAM, 19 APRIL: Tanggapan sesetengah pihak ada perbezaan pendekatan polis terhadap pegawai pentadbiran kerajaan dengan pesalah lain yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah tidak benar.

Menteri Kanan (kluster keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan tiada sesiapa terlepas daripada undang-undang jika ingkar PKP, termasuk dalam kes membabitkan anggota pentadbiran kerajaan.

“Tidak betul tanggapan ada perbezaan dari segi pendekatan polis terhadap pesalah yang ingkar PKP, dalam kes melibatkan anggota pentadbiran kerajaan, polis sudah memanggil individu berkenaan.

“Tindakan seterusnya bergantung kepada polis, tak betul tanggapan ada perbezaan dari segi pendekatan polis,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya.

Semalam, Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata pihaknya akan mengambil keterangan seorang EXCO negeri itu bersama beberapa individu selepas gambar mereka hadir jamuan bersama seorang timbalan menteri di sebuah maahad tahfiz di Lenggong, tular di media sosial.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata wakil rakyat dibenarkan mengagihkan bantuan sepanjang tempoh PKP kerana mereka menjaga kepentingan rakyat di kawasan masing-masing.

Bagaimanapun katanya, mereka masih tertakluk kepada tatacara operasi piawai (SOP) iaitu tidak boleh membuat program pengagihan serta jamuan besar-besaran, selain rombongan kecil iaitu antara dua hingga tiga orang.

“Sebaik-baiknya mereka menggunakan petugas barisan hadapan seperti Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.


Pengarang :