Suasana lengang di Plaza Tol Sungai Muda, Shah Alam berikutan Perintah Kawalan Pegerakan bagi mengekang penularan Covid-19 pada 16 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Polis tambah sekatan jalan raya, elak orang ramai balik kampung

SHAH ALAM, 18 APRIL: Polis akan menambah sekatan jalan raya bagi meningkatkan kawalan, khususnya terdapat ura-ura orang ramai mungkin mengambil kesempatan pulang ke kampung menjelang Ramadan.

Menteri Kanan (kluster keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sekatan itu akan ditambah di ibu negara serta lokasi lain yang difikirkan sesuai.

“Kita jangka mungkin ada ura-ura untuk (orang ramai) pulang ke kampung sambut puasa, jadi polis akan tambah sekatan jalan raya di ibu negara atau di mana-mana bagi memastikan kawalan ditingkatkan,” katanya di Putrajaya hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata dasar kerajaan berhubung pergerakan merentasi negeri sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah sama, tidak kira melalui jalan darat, udara atau laut.

“Jadi penumpang yang ingin mengambil penerbangan tatacara operasi piawai (SOP) ketika PKP sama seperti jalan darat, iaitu untuk kes kecemasan saja misalnya keluarga sakit, mereka mesti mendapat kebenaran polis,” katanya.

Mengenai ada syarikat penerbangan yang mula menjual tiket kepada orang ramai, beliau menegaskan syarikat penerbangan hanya boleh beroperasi dengan kebenaran kerajaan.

“Walaupun telah menjual tiket, operasi mereka ditentukan oleh kerajaan, kalau PKP tamat, masih ada SOP tertentu perlu dipatuhi, tak bermakna semua orang boleh bebas seperti hari biasa.

“Maknanya kalau (syarikat penerbangan) sudah mula menjual tiket, apabila tiba masa penerbangan tetapi kerajaan tidak benarkan, maka syarikat itu tetap tidak boleh beroperasi,” katanya.


Pengarang :