Pelajar-pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) beratur untuk mendapatkan makanan ketika berada di kampus ekoran Perintah Kawalan Pergerakan pada 15 April 2020. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

Politeknik Sultan Salahuddin urus 61 pelajar pulang malam ini

SHAH ALAM, 27 APRIL: Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) di sini akan menghantar pulang kumpulan pertama 61 pelajar dari zon tengah 1 ke zon utara malam ini.

PSA diberi tanggungjawab oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menguruskan penghantaran pulang pelajar ke utara, selain tempat pengumpulan dan berlepas ke destinasi tersebut.

Timbalan Pengarah (Sokongan Akademik) PSA, Zalina Ismail, berkata penghantaran membabitkan pelajar politeknik, Kolej Komuniti dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sekitar Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Katanya, mereka akan dihantar menggunakan dua bas yang bertolak pada jam 10 malam ini ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda dan IPD Kota Setar di Kedah, lapor Berita Harian.

“Semua yang akan bertolak pada malam ini sudah menjalani saringan kesihatan semalam, status kesihatan mereka direkod menggunakan aplikasi MySejahtera.

“Alhamdulillah semua sihat dan sebelum naik bas malam nanti, mereka akan disaring sekali lagi. Ini adalah mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Setiap bas dikendalikan dua pemandu dan seorang pegawai pengiring yang sudah disaring dan sihat. Bas terus ke IPD ditetapkan, tidak boleh singgah di mana-mana dan kita menyediakan makanan sahur,” katanya.


Pengarang :