Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Potensi dijangkiti semula Covid-19 rendah – Noor Hisham

PUTRAJAYA, 10 APRIL: Potensi untuk pesakit Covid-19 yang telah pulih dan dibenar discaj daripada wad untuk dijangkiti semula adalah rendah, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata walaupun kemungkinan dijangkiti semula rendah, pesakit akan diberi kaunseling sebelum dibenarkan pulang dan disaran agar sentiasa mengamalkan penjarakan sosial, menjaga kebersihan serta mengelak daripada pergi ke tempat tumpuan ramai.

“Mereka boleh dijangkiti semula, walaupun telah dikesan negatif dua kali dalam tempoh lebih 24 jam, … adakalanya antibodi tak cukup, (bermaksud) dia ada antobodi, tapi tak cukup kalau mereka dijangkiti semula, antibodi itu dapat memberi perlindungan,” katanya pada sidang media harian mengenai Covivid-19 di sini hari ini.

Sehingga kini, seramai 1,830 pesakit iaitu 42.11 peratus pesakit Covid-19 dilaporkan telah pulih dan dibenarkan discaj daripada wad, bilangan itu melebihi jumlah kes baharu yang dilaporkan.

Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) akan sentiasa memantau keadaan pesakit yang telah bebas daripada wabak itu dan membuat rawatan susulan bagi memastikan kes jangkitan tidak berulang.

“Peratusan jangkitan semula mungkin tidak tinggi, jadi kita harap mereka mengambil tindakan untuk mencegah daripada dijangkiti,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :