Rakaman gambar siluet petugas kesihatan Selcare membuat ujian saringan Covid-19 secara pandu lalu di Pejabat Daerah dan Tanah Gombak, Selayang pada 22 April 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Proses calitan kesan Covid-19 tidak sakit, kurang lima minit

GOMBAK, 22 APRIL: Proses mengambil calitan bagi mengesan jangkitan Covid-19 adalah mudah dan tidak menyakitkan, kata ketua pegawai eksekutif Selgate Healthcare.

Justeru, Dr Muaz Omar berkata orang awam tidak perlu takut kerana calitan dari hidung dan mulut dilakukan dengan cermat oleh petugas kesihatan terlatih.

“Proses (saringan) mengambil masa kurang lima minit dan peserta akan ditanya beberapa soalan berkenaan tahap kesihatan mereka sama ada mempunyai komplikasi penyakit atau sejarah perjalanan mahupun kontak rapat dengan pesakit Covid-19.

“Terdapat dua sampel calitan akan diambil melalui rongga hidung dan anak tekak. Apabila sampel sudah diambil, ia akan dihantar ke makmal sebelum menerima keputusan dalam tempoh 24 hingga 48 jam,” katanya ditemui di lokasi saringan di Pejabat Daerah dan Tanah Gombak di sini hari ini.

Program saringan percuma berkonsepkan pandu lalu yang memasuki pusingan keenam dianjurkan Kerajaan Negeri dengan kerjasama anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, Selcare Clinic Sdn Bhd.

Dr Muaz berkata seramai 1,200 orang awam disasar menjalani ujian saringan selama dua hari di daerah itu membabitkan warga emas dan individu bergejala seperti demam, batuk, selsema dan sakit tekak.

“Keputusan mereka yang menjalani ujian ini akan dimaklumkan melalui mesej dan e-mel. Sekiranya positif, kita akan maklumkan kepada pejabat kesihatan daerah untuk ambil tindakan lanjut seperti mengasingkan serta merawat pesakit,” katanya.

 


Pengarang :