AGENDANASIONAL

Proton sasar hasilkan 60,000 pelindung muka petugas barisan hadapan

KUALA LUMPUR, 10 APRIL: Pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd menghasilkan pelindung muka iaitu komponen penting bagi Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) untuk kegunaan petugas barisan hadapan sektor penjagaan kesihatan.

Operasi pengeluaran yang melibatkan kakitangan Proton itu dijangka bermula pada 13 April ini di ibu pejabatnya di Shah Alam.

Syarikat itu menyasarkan penghasilan 60,000 pelindung muka dalam masa 20 hari.

“Sebagai jenama automotif kebangsaan, usaha Proton ini didorong tanggungjawab membangunkan industri kereta tempatan dan menyokong negara dan rakyat sekiranya mereka memerlukan sebarang bantuan.

“Syarikat mempunyai kepakaran untuk menghasilkan kereta. Kami menggunakan kelebihan itu untuk menghasilkan peralatan PPE dalam usaha menyokong barisan hadapan negara membendung penyebaran COVID-19,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Datuk Radzaif Mohamed dalam kenyataan.

Beliau berkata pelindung muka itu dihantar secara berperingkat dan Proton bekerjasama dengan pihak kementerian untuk mengedarkan peralatan itu secara percuma mengikut tahap keperluan di setiap daerah.

Sebelum ini, syarikat itu meminjamkan 50 unit Proton X70 untuk kegunaan kakitangan Kementerian Kesihatan berikutan penularan Covid-19.

-BERNAMA


Pengarang :