Dato’ Seri Amirudin Shari. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PSRA, taksiran hafazan, Sijil Kafa Menengah tahun ini dibatalkan

SHAH ALAM, 22 APRIL: Kerajaan Selangor memutuskan Penilaian Sijil Rendah Agama (PSRA), Pentaksiran Hafazan Al-Quran (PPTQ) dan peperiksaan Sijil Kafa Menengah (SKM) pada tahun ini dibatalkan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peperiksaan yang dikelolakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan digantikan dengan kaedah pentaksiran lain.

“Kerajaan Negeri turut menetapkan bahawa Sijil Menengah Agama (SMA), Sijil Menengah Agama Tahfiq Quran (SMATQ) dan Sijil Menengah Agama Tarbiyah Diniah (SMATD) ditunda ke suku pertama 2021.

“Semua peperiksaan awam Jais ini akan dilaksanakan semula sepenuhnya apabila keadaan kembali pulih dan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia membatalkan pelaksanaan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) bagi subjek bertulis di seluruh negara yang dijadualkan pada 28 September hingga 1 Oktober.

Kementerian Pendidikan Malaysia pada 15 April lalu membatalkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah dan Pentaksiran Tingkatan Tiga pada tahun ini manakala tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Vokasional Malaysia ditunda kepada suku pertama 2021.


Pengarang :