Antara ruang untuk pesakit yang disediakan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di MAEPS ketika lawatan media pada 3 April 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pusat kuarantin cukup, 40,000 individu mampu ditampung

SHAH ALAM, 4 APRIL: Hampir 40,000 individu mampu ditempatkan di 409 pusat kuarantin Covid-19 seluruh negara dalam satu-satu masa, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seramai 4,933 ditempatkan di 90 pusat kuarantin.

“Lebih daripada cukup tempat di pusat kuarantin, sekarang ini baru 4,000 lebih yang dikuarantin sejak awal lagi dan masih banyak tempat boleh digunakan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri berkaitan PKP di Putrajaya hari ini.

Semalam sahaja, katanya seramai 1,188 rakyat tempatan ditempatkan di pusat kuarantin seluruh negara dan 711 daripada jumlah tersebut tiba melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Mereka yang pulang dari luar negara diwajibkan untuk dikuarantin selama 14 hari di pusat disediakan bermula semalam.

“Bagi penduduk Sabah dan Sarawak yang pulang dari luar negara, mereka dikuarantin di negeri masing-masing mengikut ketetapan polisi kerajaan kedua-dua negeri berkenaan,” katanya.


Pengarang :