Sekatan jalan dilakukan anggota polis di Seksyen 24, Shah Alam pada 16 April 2020 ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Rakyat diminta terus berada di rumah sepanjang Ramadan – Noor Hisham

SHAH ALAM, 22 APRIL: Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan umat Islam memanfaatkan bulan Ramadan dengan melakukan aktiviti dan amalan keagamaan bersama keluarga masing-masing di rumah, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata langkah itu dapat membantu semua orang melindungi ahli keluarga masing-masing terutama ibu bapa yang tua dan anak-anak kecil daripada dijangkiti Covid-19.

Katanya, beliau memahami tradisi dan amalan ibadat pada bulan Ramadan bagi umat Islam di seluruh dunia yang terkesan kerana banyak negara sedang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sempadan bagi mengekang penularan wabak.

“Namun, mengambil iktibar daripada penyebaran jangkitan Covid-19 dalam kluster Pengerang di Johor dan sub-kluster Rembau, masyarakat diminta untuk kekal patuh dan elak melakukan sebarang aktiviti kunjung-mengunjungi termasuk perjalanan merentas negeri, daerah dan mukim atau menghadiri perhimpunan besar.

“KKM khuatir aktiviti seperti ini yang sememangnya menjadi kelaziman rakyat Malaysia akan mengakibatkan penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan ahli keluarga terutama kepada golongan warga emas dan kanak-kanak,” katanya pada sidang akhbar harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.

KKM turut menasihtkan orang ramai mengamalkan jarak sosial selamat sekurang-kurangnya satu meter daripada orang lain dan penjagaan kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun.


Pengarang :