AGENDANASIONAL

Rakyat jadi keutamaan, Selangor pantau 24 jam situasi wabak

SHAH ALAM, 23 APRIL: Penjawat awam di Selangor yang juga petugas barisan hadapan membantu memastikan segala tindakan dan keputusan negeri berjalan seragam.

Kerajaan Negeri dalam kenyataan berkata usaha tersebut dilaksanakan melalui Bilik Gerakan Covid-19 Selangor yang beroperasi setiap hari sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Petugas barisan hadapan akan bertugas setiap hari semasa krisis Covid-19. Menerusi Bilik Gerakan Covid-19, kami memantau keadaan dan situasi di Selangor 24 jam, tujuh hari seminggu. Rakyat Selangor adalah keutamaan kami.

“Bantulah petugas barisan hadapan dengan duduk di rumah dan mematuhi PKP. Penentu nasib Covid-19 di Malaysia di tangan anda,” kata kenyataan itu.

Kerajaan Negeri turut berkongsi video bagi mendapatkan gambaran berhubung situasi harian di Bilik Gerakan Covid-19 yang berpusat di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

 

Kerajaan Selangor membuka Bilik Gerakan Covid-19 bagi membantu menyelesaikan masalah rakyat sepanjang tempoh PKP.

Bilik gerakan tersebut diberi kuasa oleh Jawatankuasa Keselamatan Negeri yang dipengerusikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.


Pengarang :