Penutup mulut dan hidung sumbangan kerajaan. Foto Facebook RAMLY NADZIRAH
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Rakyat mula terima penutup hidung percuma diagih kerajaan

KUALA LUMPUR, 15 APRIL: Orang ramai mula menerima penutup hidung dan mulut secara percuma oleh kerajaan yang dihantar ke rumah masing-masing untuk digunakan dalam mengekang penularan Ccovid-19.

Tinjauan mendapati warga maya mula memuat naik catatan masing-masing di laman media sosial dan menyatakan mereka telah menerima penutup hidung dan mulut berserta gambar barangan itu.

Rata-rata netizen menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia atas pemberian itu.

“Terima kasih Kerajaan Malaysia…siap hantar dekat rumah terus..,” kata Fiena Ramli dalam catatan di laman Facebooknya.

Seorang lagi Pokle Abraham juga memuat naik gambar penutup hidung dan mulut dalam satu hantaran Facebooknya diiringi ucapan: “Yeaa dapat ‘topeng’ dari kerajaan”, disusuli dengan tanda pagar #stayhome.

Ramly Nadzirah dalam catatan di laman Facebooknya pula berkata dia telah menerima barangan itu yang diletakkan di dalam peti surat rumahnya.

“Alhamdulillah kami dapat hari ini. Dalam ‘post box’ (peti surat) depa (mereka) hantaq mai (hantar ke mari). Hangpa-hangpa (anda semua) pun dapat hari ini juga ka (ke). Terima kasih Kerajaan Malaysia”, katanya.

Seorang lagi pengguna media sosial, Taufiq Yusof juga menyatakan: “Terima kasih…tadi ada ‘brother’ (abang) naik motor hantar rumah ke rumah…tengah panas…terima kasih, semoga murah rezeki selalu.”

Sebelum ini Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan akan mengagihkan penutup hidung dan mulut secara percuma sebanyak empat keping kepada setiap isi rumah di seluruh negara.

Menurutnya, sebanyak 24.6 juta penutup hidung dan mulut sedang dalam proses pengedaran yang diselia Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Sejak pandemik Covid-19 menular di negara ini, penutup hidung dan mulut menjadi keperluan penting sehingga mendapat permintaan tinggi dan menyebabkan stoknya semakin terhad.

Harganya juga naik mendadak sehingga memaksa kerajaan menetapkan harga siling bagi barangan berkenaan.

– BERNAMA


Pengarang :