Petugas Kesihatan Selcare membuat Saringan Komuniti Covid-19 secara pandu lalu di Pejabat Daerah dan Tanah Gombak di Selayang pada 22 April 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Rakyat puji khidmat percuma Saringan Komuniti Covid-19

GOMBAK, 22 APRIL: Seorang penghantar barang berasa bertuah apabila berpeluang melakukan saringan Covid-19 pandu laju secara percuma anjuran Kerajaan Negeri di Pejabat Daerah dan Tanah Gombak di sini hari ini.

Muhammad Rashid Mohd Noor, 28, adalah salah seorang daripada 1,200 individu yang disasarkan menyertai Saringan Komuniti Selangor di Gombak hari ini dan esok.

Program dilaksanakan dengan kerjasama anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Selcare Clinic Sdn Bhd.

Muhammad Rashid  yang bekerja dengan GD Express Carried Bhd (GDex) nekad melakukan saringan kerana menyedari risikonya dijangkiti Covid-19 ekoran terpaksa menghantar barang kepada pelanggan setiap hari.


Muhammad Rashid Mohd Noor. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Saya memang berniat untuk buat (saringan Covid-19) kerana setiap hari banyak barang dari luar (negara) yang saya sentuh dan perlu dihantar kepada pelanggan.

“Jadi, saya kuatkan diri menjalani saringan demi saya, isteri serta anak-anak,” katanya ketika ditemui di lokasi saringan keenam hari ini.

Dia yang hampir tujuh tahun bekerja di syarikat penghantaran ekspres tempatan memuji langkah Kerajaan Selangor mengadakan pemeriksaan berskala besar bagi memerangi penularan pandemik itu.

“Langkah ini sudah pasti memudahkan semua rakyat kerana sekurang-kurangnya membantu mereka yang tidak berkemampuan untuk melakukan saringan di hospital swasta” katanya.

Sementara itu, penghantar makanan, Nik Muhammad Roslan Ismail, 31, berkata melalui saringan tersebut, dia dapat mengetahui mengenai kesihatan dirinya.

Nik Muhammad Roslan Ismail. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Jika ada (jangkitan Covid-19), sekurang-kurangnya kita dapat rawat lebih awal, namun jika tiada Alhamdulillah,” katanya.

Seah Leng Lee, 55, pula berkata dia datang membuat saringan selepas dimaklumkan  ia percuma hasil inisiatif Kerajaan Negeri.

“Langkah Kerajaan Negeri  sangat bagus dan memudahkan rakyat negeri ini,” katanya.


Pengarang :