Selangorkini
AGENDA EKONOMI

Ringgit dibuka rendah 4.3750 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR 2 APRIL: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan kebimbangan mengenai satu lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendorong pelabur beralih kepada dolar AS sebagai mata wang selamat untuk melindungi mereka.

Pada 9.05 pagi, unit tempatan berada pada 4.3750 berbanding dolar AS daripada 4.3500/3650 ketika ditutup semalam.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global, AxiCorp, Stephen Innes, berkata pasaran pesat membangun sedang mengalami aliran keluar yang ketara berikutan kemungkinan lanjutan PKP.

“Ya, ekonomi terjejas, pelabur global pula amat bimbang dan dolar AS akan menjadi mata wang selamat,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata susulan itu, ringgit akan diniagakan secara bersifat defensif dalam persekitaran berisiko ini.

Seorang lagi penganalisis pula berkata peningkatan kebimbangan mengenai kemelesetan global disebabkan pandemik Covid-19 terus mengakibatkan pelabur kekal menghindari aset berisiko.

Ringgit juga diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0477/0557 daripada 3.0341 / 0454 ketika ditutup pada Rabu dan rendah berbanding euro kepada 4.7880/8007 daripada 4.7554 / 7731.

Ringgit juga lemah berbanding pound Britain kepada 5.4198/4343 daripada 5.3762/3964 semalam serta turun berbanding yen Jepun kepada 4.0728/0832 daripada 4.0416/0567.

-BERNAMA


Pengarang :