AGENDAEKONOMI

Rizab rasmi Malaysia US$101.7 bilion pada akhir Mac 2020

KUALA LUMPUR, 30 APRIL: Rizab antarabangsa Malaysia tetap boleh guna pada akhir Mac 2020, dengan aset rizab rasmi berjumlah US$101.70 bilion.

Dalam satu kenyataan hari ini, Bank Negara Malaysia (BNM) berkata rizab mata wang asing (dalam mata wang asing yang boleh ditukar) berada pada US$95.30 juta, manakala aset mata wang asing lain berjumlah US$30.6 juta.

“Bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing, yang termasuk pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh kerajaan dan pembayaran balik mata wang asing apabila matang daripada Bil Antara Bank dalam mata wang asing Bank Negara, berjumlah RM6.51 juta,” kata bank pusat itu.

Kedudukan hadapan pendek adalah US$13.21 juta pada akhir Mac 2020, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang, kata BNM dalam “Pemakluman Terperinci Rizab Antarabangsa pada Akhir Bulan Mac 2020”, dalam nota penerangan, mengikut format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, data ini tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek, kata BNM sambil menambah unjuran aliran masuk mata wang asing berjumlah US$2.48 juta bagi tempoh 12 bulan akan datang.

Bank pusat berkata satu-satunya saluran keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan Kerajaan bagi hutang luar negeri dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah US$227.2 juta.

Tiada sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, kemudahan kredit belum digunakan dan kemudahan kredit tanpa syarat yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain.

“BNM juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit,” kata bank pusat.

-BERNAMA


Pengarang :