AGENDANASIONAL

RM4.8 bilion sudah dibayar kepada 6.5 juta penerima bantuan kerajaan

KUALA LUMPUR, 17 APRIL: Kerajaan sehingga hari ini telah menyalurkan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) kepada 6.5 juta penerima golongan berpendapatan rendah (B40), melibatkan bayaran melebihi RM4.8 bilion, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

Namun begitu, terdapat sebahagian kecil penerima B40 yang telah diluluskan BPN tetapi belum menerima pembayaran berkenaan kerana tidak mempunyai akaun bank atau bayaran BPN gagal dikreditkan ke dalam akaun mereka, kata MoF dalam kenyataan hari ini.

Kementerian itu berkata justeru, penerima berkenaan boleh menerima bayaran secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai 17 April, 2020 hingga 31 Disember ini.

Penerima boleh melayari laman web BSN di www.mybsn.com.my untuk mendapatkan senarai cawangan BSN yang dibuka serta butiran lanjut, menurutnya.

MoF menasihatkan penerima yang pergi ke cawangan BSN supaya membawa kad pengenalan masing-masing serta mematuhi penjarakan sosial selain arahan kesihatan dan keselamatan daripada anggota polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia yang bertugas.

Inisiatif BPN merupakan langkah PRIHATIN di bawah matlamat Lindungi Rakyat, bagi memastikan kerajaan dapat menyalurkan bantuan kepada golongan B40 yang amat memerlukan, terutama susulan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 28 April.

“Kerajaan berharap agar bantuan ini dapat sedikit sebanyak meringankan beban kehidupan golongan yang disasar ini,” kata kementerian itu.

– BERNAMA


Pengarang :