AGENDANASIONAL

Rokok seludup jadi pilihan perokok ketika PKP

SHAH ALAM, 25 APRIL: Trend pembelian rokok ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendapati perokok kini memilih rokok seludup kerana harganya lebih murah dan menjimatkan, kata Pengarah Urusan dan Pengasas Bersama Green Zebras Steve Murphy.

Menerusi kaji selidik Persepsi Rakyat Malaysia Mengenai Rokok dan Vaping mendapati, 51 peratus rakyat berpendapat paras cukai rokok di Malaysia agak terlalu tinggi manakala 23 peratus menyatakan cukai pendapatan cukup tinggi, lapor Sinar Harian.

“Ketika pendapatan menyusut, sudah tentu permintaan terhadap rokok murah akan meningkat terutama rokok haram (tanpa cukai).

“Dalam kes rokok halal (bercukai) produk ini dianggap mahal di Malaysia disebabkan duti eksais tinggi manakala alternatif rokok haram adalah mudah diperoleh dan pada kos yang lebih murah,” katanya.

Laporan sama menyebut, hampir kesemua perokok dan bukan perokok bersetuju bahawa  lebih ramai berkemungkinan beralih membeli rokok haram berbanding membeli rokok sah ketika tempoh PKP.

Sepanjang PKP, bekalan rokok sah semakin berkurangan kerana ia tidak dikategorikan sebagai barangan penting untuk mengekang Covid-19 dan syarikat tidak dibenarkan menambah bekalan di pasaran.


Pengarang :