Keadaan bangunan Malayan Mansion pada 8 April 2020 yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan susulan penghuninya dijangkiti Covid-19. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sambung PKPD di Selangor Mansion jika kes terus meningkat

SHAH ALAM, 24 APRIL: Kerajaan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), akan melanjutkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di bangunan Selangor Mansion jika kes Covid-19 kluster tersebut terus meningkat.

Menteri Kanan (kluster keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kawasan tersebut sedang menjalani arahan PKPD sehingga 28 April ini dan memudahkan kerajaan untuk membuat kawalan.

“Sama seperti kawasan PKPD lain, perkara ini akan kita bincang (PKPD dilanjutkan), akhirnya KKM akan beri nasihat, kalau perlu sambung, kita akan umum,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri berkata kerajaan melalui Kementerian Luar sentiasa berhubung dengan pejabat kedutaan penghuni warga asing di bangunan Selangor Mansion bagi memastikan kebajikan mereka terjaga.

Semalam, kluster Selangor Mansion mencatatkan pertambahan 22 kes baharu, menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di kawasan yang dikenakan PKPD itu adalah sebanyak 107 kes.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Kewangan berhubung cadangan membenarkan operasi pejabat atau kios Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi memudahkan urusan pengeluaran wang mereka yang tiada akses internet.


Pengarang :