AGENDANASIONAL

Sambutan Hari Belia Negara ditangguh susulan Covid-19

KUALA LUMPUR, 27 APRIL: Sambutan Hari Belia Negara yang dijadualkan pada 15 Mei ini terpaksa ditangguhkan kepada satu tarikh baharu susulan penularan wabak Covid-19.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataan memaklumkan sambutan berkenaan terpaksa ditangguhkan susulan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 12 Mei, yang menunjukkan komitmen kerajaan dalam memerangi wabak berkenaan.

“Ketetapan tarikh baharu berdasarkan situasi wabak Covid-19 pada masa itu.

“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira pandangan daripada pelbagai pihak termasuk Majlis Belia Malaysia (MBM), Badan Gabungan Induk Kebangsaan, Majlis Belia Negeri dan Majlis Belia Daerah yang bernaung di bawah MBM,” menurut kenyataan tersebut.

KBS menegaskan keselamatan dan kesihatan setiap lapisan masyarakat khususnya golongan belia menjadi kepentingan paling utama kepada kerajaan.

-BERNAMA


Pengarang :