Kakitangan Kementerian Kesihatan menyimpan sampel saringan ketika tinjauan pada 2 April 2020 berikutan beberapa penghuni di Flat PKNS Kampung Baru, Kuala Lumpur dijangkiti Covid-19. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMA

Saringan Covid-19 besar-besaran di zon merah hari ini

SHAH ALAM, 10 APRIL: Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) hari ini memulakan saringan besar-besaran di enam zon merah di negeri ini bagi mengesan individu dijangkiti Covid-19, kata pengerusi STFC.

Bagaimanapun, Dato’ Seri Dr Dzulkefly Ahmad tidak mendedahkan lokasi tepat bagi mengelak keresahan penduduk di kawasan tersebut.

“Cukup sekadar kalau kita kata mana-mana zon merah kita akan melakukan saringan. Kita juga akan hubungi orang yang berkenaan, pujuk mereka dan beri penerangan keperluan menjalani saringan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata STFC akan melakukan saringan besar-besaran di beberapa lokasi terpilih dengan menetapkan sasaran antara 1,000 hingga 1,200 individu.

Enam daerah dikategori zon merah adalah Hulu Selangor, Hulu Langat, Petaling, Klang, Gombak dan Sepang.

Sehingga 9 malam tadi, Hulu Langat mencatat 370 daripada keseluruhan 1,116 kes di negeri ini, diikuti Petaling (319), Klang (146), Gombak (119), Sepang (54), Hulu Selangor (41), Kuala Selangor (27), Kuala Langat (25) dan Sabak Bernam (15).

Kementerian Kesihatan menetapkan kawasan yang lebih 40 kes sebagai zon merah, manakala zon jingga 21 hingga 40 kes. Tiada kes dianggap zon hijau, sementara 1 hingga 20 kes pula zon kuning.


Pengarang :