Kakitangan pusat kesihatan daerah membuat saringan ke atas peniaga dan penguat kuasa yang disyaki menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19 di dua pasar di Petaling Jaya. Foto Facebook MBPJ
AGENSISELANGOR

Saringan Covid-19 di dua pasar di Petaling Jaya selesai

SHAH ALAM, 30 APRIL: Seramai 303 individu yang disyaki kontak rapat kepada pesakit Covid-19 di Pasar Jalan Othman dan Pasar Awam Taman Megah selesai menjalankan ujian saringan virus tersebut, kata pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Petaling.

Johary Anuar berkata daripada jumlah itu, ia membabitkan 151 individu di Pasar Jalan Othman dengan 118 peniaga, 17 tukang cuci dan 16 kakitangan penguat kuasa.

“Saringan tersebut dilakukan 14 petugas dari pusat kesihatan daerah (PKD),” kata beliau kepada SelangorKini.

Sementara itu, di Pasar Awam Taman Megah, saringan membabitkan 135 peniaga dan 17 penguat kuasa  dilakukan oleh 14 kakitangan PKD.

Bagaimanapun, kata Johary, sama ada pasar berkenaan akan dibuka semula pada 2 Mei ini bergantung kepada keputusan ujian saringan kesihatan dilakukan PKD.

Sebelum ini, Pasar Jalan Othman ditutup berikutan seorang peniaga ikan berusia 51 tahun disahkan positif Covid-19 pada 24 April lalu.

Pasar Awam Taman Megah pula ditutup selepas seorang peniaga sayur juga positif wabak berkenaan.

Kedua-dua pasar berkenaan diumumkan tutup sekurang-kurangnya lima hari bermula 28 April lalu bagi memudahkan pemeriksaan saringan kepada individu yang disyaki kontak rapat kepada pesakit Covid-19 selain memudahkan proses nyakuman dilakukan di kedua-dua premis berkenaan.


Pengarang :