Petugas kesihatan menjalankan Saringan Komuniti Covid-19 kepada penduduk di Hulu Langat pada 12 April 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Saringan di Hulu Langat kesan kes Covid-19 tanpa gejala

SHAH ALAM, 16 APRIL: Saringan Komuniti di Hulu Langat hujung minggu lalu berjaya mengesan penduduk yang dijangkiti Covid-19 tetapi tidak menunjukkan gejala serangan.

Daripada 649 orang yang disaring pada 11 dan 12 April lalu, empat daripada lima yang didapati positif virus berkenaan tiada tanda penyakit atau simptom.

“Keputusan Saringan Komuniti ini mendapati nisbah keputusan positif dan negatif adalah sebanyak 1 peratus.

“(Hasil) ini adalah konsisten dengan kadar nasional dan seiring dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menggesa saringan dipertingkatkan sehingga nisbah kurang 10 peratus,” kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam kenyataan hari ini.

Pada 2 April lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan nisbah kes positif dan negatif Covid-19 di negara ini pada kadar 7.2 peratus iaitu bawah 10 peratus seperti ditetapkan WHO.

Badan dunia itu mengeluarkan laporan jika setiap 10 ujian terdapat satu kes baharu, ia mencapai penanda aras ditetapkan.

Amirudin menjelaskan keputusan saringan ini dihantar kepada Pejabat Kesihatan Daerah, Pusat Kesiagaan dan Tindakan Krisis (CPRC) Jabatan Kesihatan Negeri dan CPRC Kebangsaan KKM untuk tindakan lanjut.

Program Kerajaan Negeri itu, yang dikendali syarikat miliknya Selcare Clinic Sdn Bhd, dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri Kajang, Sungai Ramal dan Dusun Tua.

Menggunakan tatacara yang diluluskan KKM, tambahnya, saringan dilaksanakan di kawasan sasaran di zon merah selepas analisis data raya Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).

Saringan Komuniti memberi tumpuan kepada golongan berisiko tinggi khususnya warga emas dalam usaha Kerajaan Negeri membantu KKM memutuskan rantaian wabak.

Maklumat lanjut mengenai program Saringan Komuniti boleh disemak daripada pasukan petugas berkenaan melalui pautan https://www.amirudinshari.com/stfc19 .


Pengarang :