Petugas Kesihatan Selcare membuat Saringan Komuniti Covid-19 secara pandu lalu di Pejabat Daerah dan Tanah Gombak di Selayang pada 22 April 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Saringan Komuniti kesan lapan kes Covid-19 tanpa gejala

SHAH ALAM, 28 APRIL: Sebanyak 5,433 sampel diuji dengan 10 daripadanya disahkan positif Covid-19 termasuk lapan kes tanpa gejala, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sampel diambil berdasarkan siri pemeriksaan bersasar yang dilaksanakan Kerajaan Negeri menerusi inisiatif Saringan Komuniti Covid-19 di enam kawasan di Selangor sejak 11 April hingga 23 April lalu.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari ketika menyampaikan sumbangan keperluan asas kepada golongan yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Dewan Serbaguna MPAJ AU5, Keramat pada 11, April 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Sebanyak 5,433 sampel diuji dan 10 daripadanya disahkan positif. Manakala, lapan daripada 10 kes tersebut merupakan pesakit tidak bergejala.

“Kerajaan Negeri akan meneruskan saringan komuniti di Selangor bagi membantu usaha Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti individu dijangkiti virus terutama dalam kalangan mereka yang berisiko tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amirudin berkata inisiatif saringan diteruskan dalam masa terdekat secara lebih strategik dengan mengambil kira data Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).

“Data itu diambil kira berdasarkan kesiapsiagaan rakyat menghadapi kebiasaan baharu pasca Perintah Kawalan Pergerakan dalam usaha memulihkan semula ekonomi negeri,” katanya.

Baru-baru ini, Kerajaan Negeri memulakan beberapa siri pemeriksaan komuniti bersasar di kawasan zon merah bagi membantu melandaikan keluk dan putuskan rantaian wabak Covid-19.

Saringan secara pandu lalu dan dari rumah ke rumah dilakukan secara berperingkat membabitkan kawasan Hulu Langat; Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri,Shah Alam; Petaling dan Klang; Shah Alam; Sepang; Hulu Selangor serta Gombak.

Bagi mereka yang sudah menjalani Saringan Komuniti boleh memuat turun laporan pemeriksaan masing-masing di http://www.selangorprihatin.com mulai 1 Mei ini.


Pengarang :