Kakitangan Kementerian Kesihatan menyimpan sampel saringan ketika tinjauan pada 2 April 2020 berikutan beberapa penghuni di Flat PKNS Kampung Baru, Kuala Lumpur dijangkiti Covid-19. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Saringan percuma pandu lalu untuk warga emas, individu bergejala

SHAH ALAM, 18 APRIL: Kerajaan Selangor melalui anak syarikatnya, Selcare melaksanakan saringan Covid-19 percuma berkonsepkan pandu lalu mulai hari ini dan esok, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata saringan di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor di sini, khusus untuk warga emas dan individu yang mempunyai simptom seperti demam, selesema, batuk dan sakit tekak.

“Usaha itu sebagai salah satu inisiatif Kerajaan Negeri dalam menggempur Covid-19 habis-habisan,” katanya melalui hantaran di Facebook hari ini.

Amirudin berkata saringan bermula jam 10 pagi hingga 12 tengah hari dan 2 hingga 6 petang, dengan keputusan diketahui dalam tempoh 24 hingga 48 jam.

Kerajaan Negeri sejak 11 April lalu mengadakan saringan besar-besaran di zon merah Covid-19, antara lain untuk mengesan jangkitan wabak tanpa simptom di negeri ini.

Berdasarkan data dikongsi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor di Twitter malam tadi, Selangor mencatatkan 1,338 kes setakat semalam.


Pengarang :