AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Segelintir wanita Selangor pinjam ah long ketika PKP – IWB

SHAH ALAM, 25 APRIL: Kaji selidik Institut Wanita Berdaya (IWB) mengesan ada segelintir golongan wanita Selangor membuat pinjaman ah long bagi meneruskan kelangsungan hidup ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut laporan kajian itu, perkara tersebut diakui 14 daripada 442 responden yang mengakui bahawa mereka atau ketua keluarga terpaksa meminjam dengan pemberi pinjaman haram sebagai alternatif kerana berdepan dengan masalah kewangan.

“Walaupun pengakuan ini hanya membabitkan lima peratus daripada 442 responden namun kecenderungan itu amat membimbangkan kerana bantuan kewangan tersebut tidak lestari dan berisiko dalam jangka masa panjang,” katanya.

Dapatan laporan juga mendapati sembilan peratus respondan akan membuat cagaran aset masing-masing bagi mendapatkan wang.

Selain itu, 25 peratus respondan akan menggunakan kad kredit bagi menampung perbelanjaan harian manakala 20 peratus lagi terpaksa membuat pinjaman peribadi.

“Tiga daripada lima responden tidak mempunyai apa-apa akses kewangan ketika berdepan masalah tersebut,” katanya.

Tambah laporan tersebut jika golongan wanita mempunyai wang simpanan, mereka lebih bersedia sekiranya PKP dilanjutkan berbanding individu memiliki kad kredit.

Kajian IWB berkenaan dijalankan dalam talian selama empat hari bermula 27 Mac bagi mengetahui kesan PKP dalam kehidupan wanita terutamanya dalam aspek ekonomi.

Sebagai membendung penularan Covid-19, kerajaan melaksanakan PKP dengan fasa pertama pada 18 hingga 31 Mac, diikuti fasa kedua dari 1 April hingga 14 April manakala fasa ketiga 15 hingga 28 April dan akan disambung lagi sehingga 12 Mei ini.


Pengarang :