EXCO Pelaburan, Perindustrian Dan Perdagangan, Industri Kecil Dan Sederhana Selangor, Dato’Teng Chang Khim pada sidang akhbar Program ‘Pocket Talk’: Industri Makan dan Minuman Selangor 2020 di Shah Alam, 4 Mac 2020. Foto FILZAH YAMAL/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Selangor destinasi pelaburan nombor satu negara – Chang Khim

SHAH ALAM, 21 APRIL: Selangor kekal sebagai destinasi pelaburan paling menarik dan terunggul di Malaysia bagi 2019 dengan menjuarai bidang pelaburan diluluskan dan sektor pembuatan, kata EXCO pelaburan.

Dato’ Teng Chang Khim berkata perangkaan terkini Kementerian Perdangangan dan Perindustrian Antarabangsa semalam menunjukkan Selangor menduduki tempat pertama dengan memperoleh RM47.8 bilion dalam jumlah keseluruhan pelaburan yang diluluskan.

“Jumlah pelaburan diluluskan meninggalkan jurang besar berjumlah RM14.1 bilion berbanding dengan negeri di kedudukan kedua.

“Dalam sektor pembuatan, Selangor juga memperoleh jumlah pelaburan yang diluluskan yang tertinggi di Malaysia iaitu RM17 bilion, menghampiri jumlah rekod tertinggi dalam tempoh 25 tahun yang diperolehinya pada 2018 iaitu RM18.9 bilion,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Kerajaan Negeri melalui agensi penggalakan pelaburannya, Invest Selangor akan meneruskan usaha inovatif lagi proaktif mempromosikan Selangor sebagai destinasi pelaburan terunggul bagi pelabur asing dan tempatan.

“Sebagai sebahagian daripada perancangan strategik, Kerajaan Negeri sedang dalam proses kolaborasi dengan sektor swasta bagi membangunkan taman industri khas untuk industri strategik dan bernilai tinggi.

“Selaku penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, 23.7 peratus pada 2017, Selangor juga akan mempergiatkan usaha untuk memperkukuhkan sektor perkhidmatan.

“Sektor ini menyumbang 60 peratus kepada KDNK Selangor dengan menjalankan projek usaha sama besar-besaran yang akan diumumkan kemudian,” katanya.


Pengarang :