AGENDANASIONAL

Selangor kedua tertinggi sertai portal cari jodoh semasa PKP

SHAH ALAM, 15 APRIL: Selangor menjadi negeri kedua tertinggi yang aktif melayari aplikasi dan portal mencari jodoh muslim, Baituljannah.com sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Pengarah Urusan Baituljannah Sdn Bhd Dr Wan Hasifi Amin Wan Zaidon berkata 13.1 peratus pengguna berdaftar adalah dari Selangor selepas 13.6 peratus direkodkan dari Johor.

“Sepanjang PKP ini terdapat peningkatan 21.3 peratus mendaftar dengan laman web ini berbanding sebelumnya.

“Jumlah ini dicatat selepas minggu pertama perintah itu berjalan. Duduk rumah dan banyak masa menjadi faktor peningkatan peratusan ini,” katanya kepada Selangorkini.

Dr Wan Hasifi yang baharu tersenarai Forbes 30 Bawah 30 Asia berkata
setakat hari ini 548,990 individu sudah menyertai Baituljannah.com termasuk dari Brunei dan Singapura dalam usaha mendapatkan jodoh masing-masing.

“Untuk Selangor, 65.91 peratus yang menyertainya adalah wanita dan 34.09 peratus lelaki. Mungkin sepanjang PKP ini mereka mempunyai masa terluang dan berfikir masa depan termasuk jodoh,” katanya.

Baituljannah.com adalah landasan cari jodoh muslim yang berkesan membantu meningkatkan kadar perkahwinan dalam kalangan muslim di Malaysia, Singapura dan Brunei dengan rekod setakat hari ini 2,612 pasangan yang berkenalan melaluinya sudah melangsungkan perkahwinan.


Pengarang :