Rakaman gambar siluet petugas kesihatan Selcare membuat ujian saringan Covid-19 secara pandu lalu di Pejabat Daerah dan Tanah Gombak, Selayang pada 22 April 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor kekal catat satu digit kes baharu wabak

SHAH ALAM, 27 APRIL: Kes Covid-19 di Selangor menurun hari ini dengan hanya empat individu positif berbanding enam semalam, menurut Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis negeri.

Berdasarkan data setakat 4.45 petang tadi, sebanyak dua kes dicatatkan di Klang dengan keseluruhan kes aktif ialah 29, manakala satu kes masing-masing di Sabak Bernam dan kes luar negara.

Foto Twitter STFC

Setakat ini, Hulu Langat kekal mencatatkan kes tertinggi sebanyak 473, diikuti Petaling (374), Klang (175) dan Gombak (150).

Sepang pula mencatatkan 71 kes, Hulu Selangor (50), Kuala Selangor (35), Kuala Langat (32), Sabak Bernam (24) dan kes luar negara (14).

Keseluruhannya, Selangor mencatatkan 1,398 kes dengan 17 kematian setakat ini. Daripada jumlah itu, 1,184 pesakit berjaya sembuh dan dibenarkan keluar hospital.

Sementara itu, Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor di Twitter menasihatkan orang ramai terus menjaga kebersihan diri dan mengamalkan penjarakan sosial.

“Kes masih berlegar di ruangan digit tunggal. Jika anda sayang Malaysia, jaga penjarakan sosial dan kebersihan diri,” tulisnya.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memaklumkan 40 kes baharu wabak, keseluruhan 5,820 kes. Daripada jumlah itu, 3,957 pesakit berjaya sembuh.

Setakat ini, Malaysia mencatatkan 99 kes kematian akibat Covid-19.


Pengarang :