Sumbangan barang asas mula diagihkan kepada penghuni PPR dan Cousil Homes di negeri ini di bawah Program Bantuan Selangor Prihatin. Foto Facebook Haniza Talha
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Selangor luluskan dana RM131,600 bantu penghuni PPR, Council Homes

SHAH ALAM, 21 APRIL: Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan RM131,600 untuk Program Bantuan Selangor Prihatin di semua projek perumahan rakyat (PPR) dan Council Homes bawah seliaannya, kata EXCO perumahan.

Haniza Talha berkata ia membabitkan bantuan keperluan asas kepada 2,632 keluarga di PPR Kampung Baru Hicom, PPR Kota Damansara, PPR Serendah serta Council Homes Bangi.

Katanya, program dilaksanakan dengan kerjasama Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) serta anak syarikatnya, Perumahan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB).

“Sumbangan yang diberikan berbentuk barangan keperluan asas seperti beras, minyak, gula, tepung dan keperluan harian lain dengan anggaran kos RM50 setiap set.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, banyak keluarga terjejas terutama golongan B40 termasuk penyewa PPR dan Council Homes,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Haniza berkata sebelum ini Kerajaan Selangor mengumumkan pengecualian bayaran sewa bagi April sehingga Jun kepada seluruh unit penyewa PPR dan Council Homes.

Katanya, ia membabitkan 980 unit di PPR Kampung Baru Hicom, 1,152 unit di PPR Kota Damansara, 300 unit di PPR Serendah dan 200 unit di Council Homes, Bandar Baru Bangi.


Pengarang :