Dato’ Seri Amirudin Shari menerima 200,000 topeng muka yang disumbangkan oleh Tropicana Corporation Berhad pada 28 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor terima 200,000 topeng muka, bantu petugas hadapan perangi wabak

SHAH ALAM, 28 APRIL: Kerajaan Negeri hari ini menerima 200,000 topeng muka daripada Tropicana Corporation Berhad untuk petugas hadapan di Selangor bagi memerangi wabak Covid-19.

Sumbangan disampaikan Timbalan Ketua Eksekutif Kumpulan Tropicana Corporation Berhad Tan Sri Tan Chee Sing kepada Dato’ Seri Amirudin Shari di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar di sini.

Amirudin berkata sumbangan akan diserahkan kepada bilik gerakan bencana negeri sebelum diagihkan kepada petugas hadapan yang masih memerlukan kelengkapan tersebut.

“Inisiatif ini sebagai tanda keterlibatan mereka di Selangor yang selama ini begitu aktif selain membuktikan keprihatinan terhadap petugas barisan hadapan yang terdedah kepada penyebaran wabak.

“Justeru, saya merakamkan terima kasih kepada pihak yang kerap dan masih berterusan memberikan sumbangan kepada tabung negeri sama ada dalam bentuk barangan mahupun wang ringgit untuk digunakan bagi aktiviti melawan Covid-19,” katanya kepada Media Selangor.

Amirudin berkata syarikat pemaju hartanah itu turut menyumbang kegiatan ekonomi di Selangor kerana memiliki pelbagai projek dan aset yang melonjakkan pendapatan negeri.

Tropicana Corporation Berhad merupakan salah sebuah syarikat yang tersenarai di pasaran utama Bursa Malaysia Securities Berhad sejak 1992.

Selain aktif menjalankan aktiviti pembangunan hartanah dan resort, syarikat yang berpangkalan di Petaling Jaya juga terlibat dalam pelaburan harta dan pegangan pelaburan.


Pengarang :