AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

SelangorTutor: Lebih 72,000 pelajar daftar, masih dibuka

SHAH ALAM, 30 APRIL: Seramai 72,399 pelajar tahun satu hingga tingkatan lima mendaftar bagi program e-pembelajaran percuma menerusi laman sesawang selangortutor.com, kata pengarah kanan Pendidikan Yayasan Selangor.

Zahura Zakry berkata pembelajaran secara dalam talian yang bermula 1 April sehingga 31 Mei itu mendapat kerjasama baik daripada Jabatan Pendidikan Negeri termasuk reaksi positif daripada pelajar dan guru.

“Pendaftaran masih lagi dibuka dan Yayasan Selangor berharap supaya selangortutor yang dijalankan secara percuma oleh Kerajaan Negeri ini digunakan sebaiknya.

“Ia juga sebagai nilai tambah kepada isi kandungan pelajaran sedia ada oleh kementerian,” katanya kepada SelangorKini.

Zahura berkata pihaknya menyasarkan 250,000 pelajar di bawah pengurusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan mendaftar menerusi program berkenaan.

“Selari dengan teras perniagaan Yayasan Selangor, kita tekad memastikan semua pelajar di negeri ini tidak ketinggalan dalam pembelajaran walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya.

Sebelum ini Kerajaan Negeri menerusi Pakej Rangsangan Selangor Prihatin 2.0 mengumumkan program e-pembelajaran yang turut mendapat kerjasama Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) manakala Yayasan Selangor selaku agensi penyelaras.

Lebih 130,000 soalan latih tubi disediakan dalam aplikasi yang mengikut piawaian kurikulum KPM.

Ibu bapa boleh mengakses program itu untuk memantau perkembangan pembelajaran anak masing-masing.

Berikut cara pendaftaran selangortutor.com :

1) Layari laman sesawang selangortutor.com
2) Klik butang daftar
3) Pilih nama sekolah dan peringkat
4) Isi maklumat ibu bapa dan anak
5) Klik butiran langganan
6) Pendaftaran berjaya

Cara layari selangortutor.com :

1) Layari laman sesawang selangortutor.com
2) Log masuk
3) Laman Profil
4) Klik modul – pilih subjek
5) Pilih topik
6) Mula membuat latihan
7) Keputusan serta merta
8) klik subjek dan laporan


Pengarang :