Kelihatan orang awam mengambil barang yang dipesan dengan pelbagai cara ketika tinjauan di sekitar Bandar Baru Selayang yang merupakan antara kawasan yang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 25 April sehingga 3 Mei ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Semua pemborong, peniaga Pasar Borong Selayang kena saring Covid-19

SHAH ALAM, 28 APRIL: Semua pemborong dan peniaga di Pasar Borong Selayang perlu menjalani ujian saringan Covid-19 bagi mencegah penularan wabak.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata hanya individu disahkan negatif boleh kembali menjalankan perniagaan, namun perlu menunjukkan kad pengesahan dari hospital atau klinik kesihatan.

“Sekiranya sudah ada (kad pengesahan), maka peniaga atau pemandu lori boleh ambil barangan dari pasar borong,” kata menteri kanan (kluster keselamatan) ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia giat mengesan individu yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit dari pasar berkenaan untuk segera melakukan ujian saringan.

Sebelum ini, kerajaan mengisytiharkan kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan sehingga 3 Mei.

Langkah tersebut susulan 28 kes Covid-19 direkodkan di lokasi berkenaan dengan satu kematian membabitkan warga Myanmar berusia 36 tahun.


Pengarang :