Penunggang GrabFood menyahkuman bekas penyimpanan makanan bagi mencegah Covid-19 di McDonald’s, Kajang pada 23 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Semua syarikat e-panggilan boleh hantar makanan Ramadan ini

SHAH ALAM, 17 APRIL: Semua syarikat e-panggilan yang berdaftar dengan kerajaan dibenarkan beroperasi untuk menghantar makanan sepanjang bulan Ramadan ini, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia membabitkan lebih 40 syarikat berdaftar dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) serta penghantar di bawah rangkaian restoran makanan segera.

“Bagaimanapun kita faham, 40 syarikat ini mungkin tak ada di bandar kecil, di situ mungkin ada syarikat kecil atau individu yang diupah untuk menghantar makanan, mereka dibenarkan beroperasi.

“Penghantar di bandar kecil atau individu yang mengambil upah diminta berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya dalam sidang media harian berkenaan Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri berkata, keputusan itu dibuat bagi menjawab kekeliruan sama ada perkhidmatan e-panggilan dibenarkan beroperasi pada Ramadan ini, susulan keputusan kerajaan tidak membenarkan sebarang konsep perniagaan berkaitan bazar atau gerai Ramadan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, semua penghantar makanan diwajibkan menjalani saringan kesihatan di klinik kesihatan awam dan swasta di kawasan masing-masing.

“Kita nak jaga kesihatan penghantar makanan kerana mereka akan bersemuka dengan pelanggan.

“MOT akan keluarkan arahan kepada lebih 40 syarikat pengendali operasi e-panggilan manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengarahkan syarikat makanan segera untuk memastikan penghantar makanan mereka menjalani saringan kesihatan,” katanya.


Pengarang :