Gambar hiasan perbicaraan di mahkamah. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sengaja berada dalam kawasan wabak, lapan lelaki didenda

KUALA LUMPUR, 13 APRIL: Lapan lelaki termasuk empat warganegara Bangladesh didenda RM800 dan RM1,000, oleh Mahkamah Majistret di sini dan Selayang, kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), iaitu dengan sengaja berada dalam kawasan tempat jangkitan tanpa alasan munasabah.

Di Mahkamah Selayang, Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara tiga bulan terhadap R.Thayalan, 24; S.N Lugantran, 25; K.Gukan, 24; dan Muhammad Khan Abdullah, 24; kerana bergerak dari Jalan Bandar Country Homes ke Kundang, Gombak di sini, pada 8.30 malam, 3 April lepas.

Mereka didakwa gagal mematuhi PKP dengan bergerak dari satu tempat ke tempat lain, dalam kawasan jangkitan di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara enam bulan dan denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.

Thayalan dan Lugantran juga mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersama-sama menghalang penjawat awam iaitu seorang anggota polis, semasa menjalankan fungsi awamnya pada tempat, tarikh dan masa sama mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Thayalan turut mengaku tidak bersalah memandu kereta dengan cuai, hingga menyebabkan cedera ke atas seorang anggota polis pada tempat, masa dan tarikh sama, mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau dengan denda sehingga RM2,000 atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 9 Jun untuk sebutan kes Thayalan dan Lugantran.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni, manakala semua tertuduh diwakili peguam M.Mariappan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, empat warganegara Bangladesh didenda RM800 atau penjara satu bulan kerana melanggar PKP dengan bergerak dari satu tempat ke tempat lain di dalam kawasan tempat jangkitan.

Majistret Mohamad Fared Abdul Latif menjatuhkan hukuman itu terhadap Nazir Tayyab, Hassan Bilal, Mahmood Nasir dan Ramzan Mustafa selepas mereka mengaku bersalah melakukan kesalahan tersebut di Taman Miharja, Cheras pada 11.45 malam, 1 April lepas.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

– BERNAMA


Pengarang :