SHAH ALAM, 6 APR: Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) memberi amaran Sepang berisiko menjadi zon merah kelima di Selangor.
Mengikut data Jabatan Kesihatan Negeri Selangor setakat jam 11 malam tadi, daerah itu merekodkan 39 kes, kurang dua daripada takrifan zon merah. “Selangor masih kekal empat kawasan zon merah. Beberapa daerah yang sekiranya jumlah kes melebihi 40, ia akan bertukar ke zon merah juga. “Jadi tolong patuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pesan kepada kejiranan anda juga supaya kawasan sama-sama kekal selamat,” kata pasukan tersebut menerusi Twitter hari ini. Setakat ini, empat zon merah di Selangor adalah Hulu Langat yang mencatat kes tertinggi iaitu 312 diikuti Petaling (286), Klang (101) dan Gombak (95). Kuala Selangor pula ada 29 kes, Hulu Selangor (25), Kuala Langat (21) dan Sabak Bernam (10). Mengikut piawaian Majlis Keselamatan Negara, sesebuah daerah dikategori zon merah apabila ada lebih 40 kes positif manakala zon jingga pula merujuk kepada 21 hingga 40 kes. Zon kuning pula merujuk kawasan yang bilangan kes positif antara satu hingga 20 manakala zon hijau tiada kes.
|