Dr Mohd Radzi Md Jidin. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Sesi belajar melalui TV pendidikan minggu depan

KUALA LUMPUR, 3 APRIL: Susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memasuki fasa kedua, Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil pendekatan mengadakan sesi pembelajaran melalui televisyen pendidikan menerusi saluran baharu RTM, TV Okey, bermula minggu depan.

Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkata sesi pembelajaran melalui televisyen pendidikan itu  menawarkan siri latihan kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan khusus bagi mereka yang tidak mempunyai akses internet.

“Pendekatan ini  bagi memberi ruang kepada pelajar yang tiada akses kepada internet tetapi dapat akses kepada televisyen. Kita sedar bukan semua pelajar mendapat akses internet.

“Pendekatan ini diambil kementerian untuk memberikan ruang dan peluang kepada bukan sahaja pelajar tetapi juga guru dan ibu bapa dalam mendapat akses pendidikan sepanjang tempoh ini,” katanya ketika menjadi tetamu Program Bicara Naratif RTM di sini semalam.

Mohd Radzi, yang juga menteri kanan, berkata walaupun kementerian mengeluarkan garis panduan sebelum ini, kelonggaran diberikan kepada guru menentukan kaedah terbaik yang boleh diguna pakai bagi memastikan penyampaian pengajaran dan pembelajaran (PdP) berkesan sepanjang tempoh PKP berkuat kuasa.

Katanya, oleh kerana ini merupakan kali pertama PKP dikuatkuasakan, kementerian turut melakukan kaji selidik peranti atau gajet digunakan pelajar di rumah bermula 28 Mac lalu.

Seramai 500,000 responden terdiri daripada ibu bapa melibatkan 700,000 pelajar mengisi kaji selidik berkenaan terutama mereka yang mempunyai akses internet.

“Hasil dapatan daripada kaji selidik itu, hampir 80 peratus pelajar sekolah menengah mempunyai telefon pintar diikuti sekitar 36 peratus murid sekolah rendah. Bagaimanapun, untuk peranti lain seperti tablet, komputer dan komputer riba, jumlah milikan amat rendah iaitu sekitar hanya lima hingga 14 peratus.

“Memang betul ada akses kepada internet tetapi kebanyakannya melalui telefon pintar dan ini kekangan terutama apabila pembelajaran itu terlampau rumit sekali gus menyebabkan kesukaran menyiapkan tugasan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :