ADN Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri memberi makanan kepada kucing jalanan yang ditemuinya semasa meninjau kerja nyahkuman pasar dan gerai-gerai di Pelabuhan Klang pada 8 April 2020. Foto Faceboook Azmizam Zaman Huri
ADNSELANGOR

Sibuk agih bantuan, ADN Pelabuhan Klang sempat beri kucing jalanan makan

SHAH ALAM, 10 APRIL: Sekalipun sibuk mengagih bantuan makanan kepada orang ramai, Ahli Dewan Negeri (ADN) Pelabuhan Klang turut memberi makan kepada kucing jalanan.

Azmizam Zaman Huri berkata banyak haiwan yang ditemui dalam keadaan lapar dan kurus sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Terbaru semasa melawat pasar dan gerai Majlis Perbandaran Klang di Pelabuhan Klang yang dinyahkuman, saya ternampak banyak kucing jalanan berkeliaran kerana lapar.

“Sebagai ADN, saya dibenar bergerak untuk buat kerja kebajikan membantu keluarga yang terjejas, jadi saya gunakan peluang ini untuk turut membantu kucing jalanan,” katanya.

Beliau juga gembira apabila Kedai Cat’s Hometown di Kota Pendamar menyumbangkan makanan kucing.

“Saya akan terus turun padang untuk memantau keadaan kucing-kucing ini. Kesan Covid-19 ini bukan sahaja kepada manusia tetapi juga kepada makhluk Allah yang lain,” katanya.


Pengarang :