AGENDAGLOBAL

Singapura lanjutkan langkah pemutus rantaian sehingga 1 Jun

SINGAPURA, 21 APRIL: Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong hari ini mengumumkan langkah pemutus rantaian iaitu langkah pencegahan lebih ketat yang dilaksanakan republik itu untuk menangani pandemik Covid-19, akan dilanjutkan selama empat minggu lagi sehingga 1 Jun 2020.

Dalam ucapannya mengenai situasi Covid-19, Lee berkata ia bertujuan untuk mengurangkan jumlah kes tidak berkaitan yang “mereka tidak tahu bagaimana mereka dijangkiti, atau dari siapa”.

“Malangnya jumlahnya tidak berkurangan dan ini menunjukkan terdapat lebih banyak, tempat simpanan tersembunyi dalam masyarakat, yang merupakan sumber kes-kes yang tidak berkaitan ini, yang kami tidak dapat kesan,” katanya.

Singapura melaksanakan langkah pemutus rantaian pada 7 April dan dijadual berakhir pada 4 Mei.

Lee juga mengakui bahawa dalam komuniti yang lebih luas, langkah pemutus rantaian mula memberi kesan kerana jumlah kes komuniti telah menurun dalam beberapa hari yang lepas.

“Ini semua adalah hasil daripada usaha kita bersama, berkorban dan mematuhi peraturan pemutus rantaian. Kita tidak boleh berpuas hati. Kita mesti terus giatkan usaha untuk menurunkan jumlah jangkitan harian lebih drastik, menjadi satu digit atau bahkan sifar,” tambah beliau.

Perdana Menteri berkata republik itu mahu menurunkan bilangan kes komuniti secara lebih berkesan.

“Kami juga mahu memastikan jika berlaku penularan dari asrama ke dalam komuniti, kami boleh kesan dan membendungnya lebih awal, serta cegah kluster baharu daripada terbentuk dan merebak tanpa dapat dikawal,” katanya.

Oleh itu, untuk mencapai objektif berkenaan, Lee berkata “kita mesti berlindung dan terus mematuhi langkah-langkah pemutus rantaian yang lebih ketat”.

Pada 12 tengah hari tadi, Singapura mengesahkan tambahan 1,111 kes jangkitan Covid-19 di republik itu, menjadikan jumlah keseluruhan 9,152 kes.

Majoriti kes baru terdiri daripada pemegang permit kerja yang tinggal di asrama pekerja asing manakala 20 kes melibatkan warganegara Singapura dan Penduduk Tetap.

Dengan jumlah kes terkini itu, Singapura yang mencatatkan kes pertama Covid-19 pada 23 Jan, mencatatkan jumlah tertinggi dalam kalangan negara Asean.

Sehingga 12 tengah hari 20 April, Singapura mengklasifikasikan 6,075 kes sebagai penghuni asrama, 339 melibatkan pemegang permit kerja tidak tinggal di asrama, 1,031 kes komuniti dan 569 kes lagi sebagai kes import.

Sementara itu, 801 pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan dibenarkan keluar dari hospital ataupun fasiliti isolasi komuniti manakala 23 dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi dan 11 meninggal dunia.

-BERNAMA


Pengarang :