AGENDA GLOBAL

Singapura perlukan lebih tempat rawat pesakit Covid-19

SINGAPURA, 27 APRIL: Dengan penambahan kes Covid-19 yang dikesan melibatkan sakit ringan, Singapura sangat memerlukan penyelesaian segera untuk menempatkan sejumlah besar pesakit bagi mengelakkan keadaan sesak di hospital, kata Perdana Menteri republik itu, Lee Hsien Loong.

Dalam laman Facebooknya semalam, Hsien Loong melampirkan berita dalam talian yang memaparkan dua dewan di Singapore Expo dijadikan fasiliti pengasingan sementara untuk menempatkan 950 pesakit dalam tempoh tiga hari.

“Pandemik Covid-19 telah memaksa kami untuk menambah baik dan menghasilkan penyelesaian inovatif yang dapat dilaksanakan di lapangan.

“Ia adalah satu percubaan berterusan untuk mendapatkan kaedah terbaik bagi membantu orang ramai dalam tempoh yang singkat,” kata Hsien Loong.

Sehingga Sabtu, sebanyak 12,693 kes direkodkan dan Singapura mengklasifikasikan 10,525 kes dari asrama pekerja asing atau kira-kira tiga peratus daripada jumlah 323,000 pekerja asing yang ditempatkan di asrama pekerja.

Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura melaporkan kebanyakan kes berkenaan melibatkan sakit ringan dan mendapat pengawasan dalam fasiliti pengasingan komuniti atau wad umum di hospital serta tiada seorang pun daripada mereka menerima rawatan di unit rawatan rapi.

Hsien Loong juga menyatakan selain Singapore Expo, lokasi lain juga sedang diubah suai, termasuk Changi Exhibition Centre untuk menampung 2,800 orang dan seramai 15,000 lagi di Tanjong Pagar Terminal.

“Kemudahan komuniti ini membolehkan hospital kami menumpukan pada kes yang lebih serius,” kata Hsien Long

Sehingga tengah hari semalam, Singapura melaporkan sejumlah 931 kes baharu jangkitan Covid-19, menjadikan jumlahnya 13,624 kes.

MOH memaklumkan peningkatan itu disumbangkan oleh majoriti kes melibatkan pekerja asing yang ditempatkan di asrama pekerja manakala hanya 15 kes melibatkan rakyat Singapura atau Penduduk Tetap.

– BERNAMA


Pengarang :