Sirim menyampaikan sumbangan alat pelindung muka dan cecair pembasmi kuman kepada Jabatan Kesihatan Selangor bagi melindungi petugas kesihatan yang mengendali kes Covid-19. Foto Ihsan Sirim
AGENSISELANGOR

Sirim sumbang alat pelindung muka kepada petugas kesihatan

SHAH ALAM, 8 APRIL: Sirim menyumbangkan alat pelindung muka dan cecair pembasmi kuman kepada Jabatan Kesihatan Selangor bagi membantu petugas perubatan negeri ini mengendalikan wabak Covid-19.

Sirim dalam kenyataan memaklumkan, agensi penyelidik itu berusaha mencari penyelesaian bagi membantu pasukan petugas barisan hadapan selain menghargai usaha mereka.

“Penghasilan alat pelindung muka ini dibuat dengan teknologi cetakan mesin 3D (tiga dimensi) yang dilakukan Pusat Inovasi Perindustrian dalam Pembuatan Pintar, Sirim.

“Manakala, cecair pembasmi kuman dengan kandungan 70 peratus alkohol dihasilkan di kilang kosmetik bertaraf Pensijilan Amalan Pengilangan Baik (GMP) oleh Pusat Penyelidikan Bioteknologi Perindustrian, Sirim dengan mematuhi piawaian Bahagian Regulatori Farmasi Negara,” kata kenyataan tersebut.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan 18 Mac lalu, agensi terbabit telah menghasilkan lebih 4,000 botol cecair pembasmi kuman dan diedarkan kepada pembekal untuk kegunaan hospital.

Pada masa sama, agensi penyelidikan perindustrian itu turut menghasilkan komponen untuk kegunaan mesin bantuan penafasan yang menggunakan teknologi percetakan 3D.

Selain itu, Sirim turut menyumbangkan alat pelindung muka tersebut ke Klinik Kesihatan Sungai Selisek, Kuala Kubu Baru; Klinik Kesihatan Balakong di Kajang; Balai Polis Bandar Baru Bangi; Pejabat Kesihatan Barat Daya, Balik Pulau, Pulau Pinang; Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian dan Hospital Pasir Mas, Kelantan.


Pengarang :