Dr Daroyah Alwi turun padang bersama pegawai JPS dan JKR Klang bagi membincangkan jalan penyelesaian mengatasi kejadian banjir kilat di kawasan DUN Sementa pada 29 April 2020. Foto ihsan Facebook Dr Daroyah Alwi
ADNSELANGOR

Sistem saliran akan dibersihkan, elak banjir kilat berulang

SHAH ALAM, 30 APRIL: Kerja pembersihan longkang dan saliran tersumbat di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa akan dilaksanakan segera susulan kekerapan banjir kilat setiap kali hujan lebat.

Ahli Dewan Negerinya Dr Daroyah Alwi berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Klang turut kenal pasti banyak parit, longkang dan saliran tersumbat kerana tidak diselenggara mengikut jadual.

“Taklimat diberi berkenaan beberapa kerja pembersihan saliran yang menjadi punca dan (kerja pembersihan) diluluskan akan dimulakan secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Malam kelmarin, hujan lebat melanda beberapa kawasan antaranya Kampung Sementa, Kampung Perepat, Jalan Benteng Kapar, Kampung Bukit Kapar dan Kampung Bukit Kerayong sehingga mengakibatkan rumah penduduk dinaiki air.

Daroyah yang juga timbalan speaker Dewan Negeri Selangor berkata hujan hampir dua jam dengan taburan mencecah 154 milimeter antara tertinggi direkodkan di Klang.

“Saya sedih melihat keadaan rumah penduduk yang mengalami kerosakan teruk dan ditenggelami air. Semoga penduduk terlibat diberi kesabaran atas perkara yang berlaku,” katanya.


Pengarang :