Notis penutupan Masjid Bandar Baru Ampang ditampal di pintu pagar masjid berikutan Perintah Kawalan Pergerakan pada 21 Mac 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Solat Jumaat: Umat Islam dirayu kekal patuh arahan PKP, fatwa

KUALA LUMPUR, 3 APRIL: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri merayu seluruh umat Islam kekal patuh kepada arahan kerajaan dan fatwa pihak berkuasa agama mengenai larangan melaksanakan Solat Jumaat.

Beliau berkata, walaupun hari ini masuk kali ketiga umat Islam tidak dapat menunaikan solat Jumaat sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan oleh kerajaan pada 18 Mac lepas, namun arahan itu diteruskan kerana umat Islam masih berada dalam darurat kesihatan akibat penularan wabak penyakit berjangkit Covid-19.

“Kami merasa risau apabila diberitahu oleh pihak keselamatan terdapat segelintir pihak yang berkeras mahu menunaikan solat Jumaat pada hari ini. Alasan mereka kerana terdapat hadis yang menyebut bahawa sesiapa yang tidak menunaikan solat Jumaat sebanyak tiga kali, maka ia termasuk dalam golongan munafik.

“Kami ingin tegaskan, bahawa apa yang didakwa ini adalah suatu kesalahfahaman yang jelas! Maka, kami katakan golongan yang dicap sebagai munafik itu adalah mereka yang meninggalkan tiga kali Jumaat dengan sengaja tanpa sebarang keuzuran,” tulisnya di Twitternya hari ini.

Zulkifli berkata dalam isu Covid-19, ia wabak penyakit berjangkit dan bersifat maslahah ‘ammah (kemaslahatan umum) yang mana rakyat disuruh untuk kuarantin dan duduk di rumah dan itu yang perlu diutamakan.

“Sesungguhnya kita semua mahu segera keluar daripada kemelut pandemik ini, namun ia memerlukan komitmen dan kerjasama semua pihak terutama diri kita sendiri. Jangan pergi masjid! Solatlah Zuhur berjemaah di rumah atau di tempat masing-masing,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :