AGENDAEKONOMI

SSM garis lima inisiatif bantu syarikat harungi cabaran Covid-19

KUALA LUMPUR, 11 APRIL: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menggariskan lima inisiatif bagi mengurangkan bebanan komuniti perniagaan serta korporat yang terkesan akibat Covid-19 sebagai tambahan kepada dua langkah yang diumum di dalam Pakej Prihatin Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) (Tambahan).

Pada 6 April lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan akan memberikan tempoh moratorium 30 hari dari tarikh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir untuk syarikat menyerahkan simpan dokumen dengan suruhanjaya itu.

Semua transaksi di bawah Akta Syarikat 2016 dan Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 perlu diserah simpan atau dikemukakan kepada Pendaftar selepas tamat tempoh PKP.

Dalam tempoh moratorium tersebut, fi lewat serah simpan akan dikecualikan.

Selain itu, tempoh menyerah simpan penyata kewangan syarikat juga dilanjutkan selama tiga bulan daripada tarikh terakhir PKP dan turut mengecualikan pembayaran fi RM100 kepada syarikat yang terjejas dalam pelanjutan masa tersebut.

“Selain daripada dua inisiatif ini, SSM, dalam menyahut saranan Perdana Menteri untuk mengurangkan bebanan komuniti perniagaan turut menggariskan lima lagi inisiatif lain,” kata SSM dalam satu kenyataan.

Inisiatif tersebut termasuk melanjutkan tempoh untuk pematuhan Seksyen 241 Akta Syarikat 2016 bagi Pendidikan Profesional Berterusan (CPE) bagi setiausaha syarikat sehingga 31 Disember 2020 tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.

SSM turut akan menaikkan nilai ambang semasa keberhutangan di bawah Seksyen 466 Akta Syarikat 2016 daripada RM10,000 ke RM50,000 sehingga 31 Disember untuk mengurangkan tindakan penggulungan terhadap syarikat.

Tempoh menjawab notis tuntutan oleh sesebuah syarikat juga dipanjangkan kepada enam bulan berbanding tempoh 21 hari sekarang ini.

SSM juga akan melanjutkan tempoh pelaksanaan “Kempen Pematuhan Tahun 2020 Akta Syarikat 2016” sehingga 30 Jun depan.

Di bawah inisiatif ini, SSM akan memberikan kadar pengurangan kompaun maksimum sebanyak 90 peratus daripada nilai asal kompaun terhadap kompaun-kompaun bagi kesalahan lazim di bawah Akta Syarikat 1965 (AS 1965) dan Akta Syarikat 2016 (AS 2016) bagi keadaan, yang mana syarikat aktif telah mengemaskini serah simpan Penyata Tahunan dan Penyata Kewangan; syarikat dorman atau tidak aktif telah membuat permohonan pembatalan nama di bawah seksyen 550, AS 2016 atau setiausaha syarikat telah memberi maklum balas bertulis terhadap notis di bawah seksyen 7(11)(b) AS 1965.

Suruhanjaya itu juga SSM akan memperkenalkan pengecualian kelulusan bagi Syarikat Berhad Menurut Jaminan (SBMJ) dalam membuat kutipan sumbangan daripada orang ramai untuk membantu lapisan masyarakat yang mengalami kesempitan hidup akibat Covid-19.

“Untuk mempercepatkan kegiatan amal ini, SSM akan memberikan pengecualian kepada SBMJ yang telah mendapat kelulusan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) daripada keperluan untuk mendapatkan kelulusan YB Menteri atau Pendaftar untuk membuat kutipan sumbangan tersebut sehingga 31 Disember 2020,” katanya.

SBMJ yang belum mendapat kelulusan daripada LHDNM masih dibenarkan untuk membuat kutipan sumbangan dengan syarat, SBMJ tersebut perlu membuat permohonan secara rasmi dalam tempoh 30 hari selepas PKP berakhir.

Setiap SBMJ yang mengutip sumbangan Covid-19 perlu menyimpan rekod penerimaan sumbangan bagi pemantauan SSM.

SSM turut memberikan pelanjutan masa pematuhan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) sehingga tiga bulan selepas berakhirnya PKP bagi syarikat mengadakan AGM.

“Bagaimanapun, syarikat masih perlu membuat permohonan kepada SSM untuk memastikan pelanjutan masa ini tidak akan disalahgunakan.

“Syarikat yang terlibat juga akan dikecualikan daripada membayar fi RM100 dalam pelanjutan masa tersebut,” kata suruhanjaya itu.

-BERNAMA


Pengarang :