Seorang pengunjung di pasaraya Aeon Big, Shah Alam membeli barangan pada 16 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Stok barangan keperluan asas stabil, lebih daripada cukup

SHAH ALAM, 20 APRIL: Kerajaan memberi jaminan stok semasa barangan keperluan asas seperti beras adalah stabil dan lebih daripada mencukupi menjelang Ramadan.

Menteri Kanan (kluster keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata stok semasa beras mengambil kira pengeluaran tempatan dan import adalah stabil, terkawal dan konsisten bagi menampung keperluan dalam negara secara berterusan.

Katanya, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MOA) juga memberi jaminan barang makanan basah seperti sayuran juga lebih daripada mencukupi.

“Oleh itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak bimbang dengan bekalan makanan dan keperluan harian kerana ia dijamin mencukupi,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) semalam membuat pemantauan harian terhadap 25 jenis bekalan makanan di 1,203 premis peniagaan termasuk peruncit (925), pemborong (247) dan pengilang (31).

“Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung permintaan semasa,” katanya.


Pengarang :