DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan titah ucapan baginda ketika Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor sempena Hari Keputeraan Yang ke 74 berlangsung di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Sultan seru banyakkan ibadat, dalami tamadun Islam

SHAH ALAM, 23 APRIL: Sultan Selangor menyeru umat Islam memperbanyakkan ibadat dan menambah ilmu mengenai sejarah peradaban Islam sepanjang bulan Ramadan pada tahun ini.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, walaupun seluruh rakyat Selangor kini sedang diduga dengan penularan wabak Covid-19 tetapi baginda mendoakan agar mereka masih boleh menjalani ibadah puasa dengan sempurna dan penuh kesabaran.

Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin turut  mengucapkan selamat menyambut Ramadan kepada seluruh umat Islam di Selangor.

“Memandangkan ketika ini rakyat masih mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan duduk di rumah, Beta berharap umat Islam mengambil peluang ini untuk memperbanyakkan amalan terpuji serta ibadat wajib dan sunat termasuk menunaikan Solat Sunat Terawih di rumah masing-masing.

“Selain itu, Beta turut menyeru agar umat Islam mengimarahkannya dengan menambah ilmu pengetahuan menerusi pembacaan buku-buku tentang sejarah peradaban Islam.

“Banyak yang boleh dipelajari dan diteladani daripada kisah-kisah dan sejarah Islam terdahulu dalam usaha menjadi masyarakat yang lebih berilmu dan bijak ketika berdepan krisis atau masalah,” titah baginda di Facebook Selangor Royal Official malam ini.

Sultan Sharafuddin turut menitahkan agar rakyat terus berdoa supaya wabak Covid-19 segera berakhir dan seluruh rakyat Selangor dan umat Islam di seluruh dunia terselamat daripada dijangkiti.

“Patuhilah segala garis panduan, nasihat dan arahan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia,” titah baginda.


Pengarang :